PETALING JAYA: Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar untuk memberi pendidikan akidah sepenuhnya kepada anak sejak di usia kecil sebagai langkah awal membendung penyebaran ajaran yang difatwakan sesat, Millah Abraham.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, pendidikan akidah sangat penting dalam mengenal tuhan dan mempercayai bahawa Islam adalah agama yang sebenar.
“Ibu bapa kena beri perhatian dari sudut pendidikan akidah kepada anak. Kadangkala apa yang berlaku kita banyak menumpukan kepada ilmu fikah atau amalan sahaja, tetapi tidak kepada akidah untuk mengenal tuhan.
“Ini yang menyebabkan ajaran sesat itu mengambil tempat dalam kalangan masyarakat. Akidah yang sebenar disusuli dengan syariat yang sahih, hatta kepada tasawuf yang bersumber al-Quran dan As-Sunnah perlu ditekankan.
“Jika tiada ilmu, maka, mudahlah ‘berjangkit’ seperti yang berlaku dalam ajaran sesat ini. Masyarakat juga harus mempunyai kesedaran tentang kewujudan ajaran sesat ini supaya dapat dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mohd. Sukki berkata, isu berleluasanya ajaran sesat itu menyaksikan umat Islam kini berada di zaman fitnah sehingga muncul satu fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.
“Manusia ini kadangkala mencari solusi dan kelainan, maka dia jumpa dalam ajaran yang sesat. Jika seseorang itu tidak mempunyai pegangan agama yang kuat, maka, akan mudah terpengaruh. Inilah cabaran kepada umat Islam,” katanya.
Sementara itu, Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, hanya dengan penguatkuasaan lebih ketat dan ‘memburu’ dalang di sebalik penyebaran ajaran sesat Millah Abraham dapat membendung ideologi itu daripada berleluasa.
Katanya, pihak berkuasa mesti berterusan mencari punca kuasa fahaman itu tersebar kerana hingga kini masih berlaku kes tangkapan walaupun keadaannya dilaporkan terkawal.
Bagaimanapun, beliau yakin dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memerangi ajaran berkenaan.
“Saya percaya, walaupun ‘dahannya’ sudah dicantas, tetapi, selagi ‘akarnya’ masih ada, selagi itulah fahaman ini akan terus berleluasa kerana isu ini melibatkan ideologi dan pemikiran. Jadi, dalangnya mesti dicari.
“Semua sudah maklum fahaman ini bercanggah dengan ajaran Islam dan sudah difatwakan sesat. Dalam keadaan sekarang media sosial adalah alat paling ampuh untuk menyebarkannya.
“Maka, penguatkuasaan sedia ada mesti diperketat bagi membendung masalah ini,” katanya.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, penyebaran ajaran sesat Millah Abraham dipercayai meningkat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 di seluruh negara beberapa tahun lalu.
Katanya, kumpulan itu menggunakan media sosial untuk mengembangkan ideologi ajaran sesat yang dibawa oleh pengikut mereka.
Bagaimanapun, menurut beliau, penyebaran ajaran itu masih terkawal dengan beberapa tangkapan dilakukan membabitkan pengikut ajaran berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan, pelakon, Pablo Amirul mengakui pernah terjebak dua tahun dengan ajaran sesat Millah Abraham kerana mengikut kekasih sebelum kini memilih untuk kembali ke ajaran Islam yang betul.
Ajaran Millah Abraham atau Millah Ibrahim itu difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Menurut ajaran sesat itu, Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW berakhir sejak kejatuhan kerajaan Islam dan diganti dengan agama baharu iaitu Millah Ibraham.
Selain itu, mereka menggelarkan sesiapa yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham sebagai sesat, kafir, syirik dan wajib bertaubat dengan ajaran tersebut. – UTUSAN










