Sukma: Perlis tawar insentif RM5,000 untuk pingat emas

Sukma: Perlis tawar insentif RM5,000 untuk pingat emas

MOHD Shukri Ramli (kanan) selepas Seminar Pengukuhan Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Perlis 2024 di Dewan Warisan Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis menawarkan insentif RM5,000 kepada atletnya yang berjaya meraih pingat emas dalam acara individu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21 di Sarawak bermula 17 Ogos ini.

Bagi pemenang pingat perak dan gangsa individu pula masing-masing bakal menerima insentif sebanyak RM3,700 dan RM2,400.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri juga memutuskan untuk membuat pembayaran insentif segera kepada atlet-atlet Perlis yang meraih pingat dalam sukan berkenaan.

“Bagi atlet individu yang meraih pingat akan mendapat pembayaran insentif tunai awal selepas mereka menaiki podium di mana untuk emas akan mendapat sebanyak RM1,000, perak pula RM700 dan gangsa RM400,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sukma dijadualkan bermula 17 Ogos hingga 24 Ogos ini dan akan berlangsung di sekitar Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Untuk kali ini, Perlis menghantar seramai 284 atlet melibatkan 28 acara daripada 37 sukan yang dipertandingkan.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, Perlis meletakkan sasaran meraih 10 pingat emas bagi edisi Sukma kali ini di mana antara sukan prospek adalah taekwando dan angkat berat.

“Selain itu, kita juga ada sukan-sukan lain yang mampu memberi kejutan pingat emas antaranya seperti silat olahraga dan pelayaran. Pencapaian terbaik pernah diraih kita adalah 12 pingat emas dalam Sukma dan kita berkeyakinan dapat memecahkan rekod tersebut,” katanya.

Mengulas kritikan sebilangan pihak mendakwa penganjuran Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Perlis ke Sukma Sabtu lalu tidak mendapat sambutan orang ramai, Mohd. Shukri berkata, pelaksanaan majlis itu adalah merupakan satu permulaan ke arah untuk menggemilangkan semula sukan di negeri ini.

Katanya, penganjuran majlis tersebut bertujuan bagi memberi motivasi buat atlet negeri ini yang bakal menggalas cabaran ke temasya berkenaan.

“Penganjuran majlis itu adalah merupakan satu peringkat permulaan untuk kita menyemarakkan semula sukan di Perlis ini.

“Dan mungkin selepas ini rakyat akan terkesan bila lihat adanya semula kemeriahan sukan di negeri ini dan akan turun bersama-sama memberi sokongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN