PETALING JAYA: Seorang lelaki yang terselamat dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India, telah lama berhasrat untuk memeluk agama Islam.
Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin, lelaki itu dikenali sebagai Kalidass, 48, telah melafazkan dua kalimah syahadah di pejabat Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara dan menukar namanya kepada Haridath.
Beliau berkata, Kalidass telah datang sendiri ke pejabat IOA untuk menyatakan hasratnya memeluk agama Islam.
“Beliau datang dalam keadaan bersedia, malah hadir bersama-sama dua saksi yang merupakan kenalannya.
“Cuma, peristiwa hampir terjatuh ke dalam lubang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India itu menjadi wake up call untuk beliau tidak bertangguh lagi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, ABIM maklum berita dan maklumat yang tular dalam beberapa platform media sosial khususnya WhatsApp berkenaan pengislaman saudara baharu itu.
“ABIM memohon agar semua pihak memberi ruang kepada saudara baharu ini bertenang, menghormati privasi dan mendoakan kebaikan beliau.
“ABIM mengajak semua umat Islam untuk terus menyebarkan keindahan Islam, selanjutnya meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah,” katanya.
Dalam kejadian di Jalan Masjid India pada Jumaat minggu lalu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang wanita tiba-tiba terjatuh ke dalam lubang benam, manakala Kalidass yang sedang duduk di situ dilihat sempat menyelamatkan diri meskipun sebelah kakinya sudah terjerlus ketika itu.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan yang menyebut seorang lelaki bukan Islam yang kebetulan berada dengan tempat kejadian tanah jerlus sudah mengucap dua kalimah syahadah.
Lelaki itu dikatakan sedang berehat di kawasan laluan berkenaan kemudian laluan berhampirannya runtuh menyebabkan seorang warganegara India terjatuh bersama dalam kejadian pada 23 Ogos lalu.
Lelaki tersebut pula nyaris terjatuh bersama, namun sempat berpaut pada laluan berhampiran sebelum bergegas menyelamatkan diri dengan bantuan orang ramai. – UTUSAN










