SIMP: Lebih RM10 juta bayaran 'ex-gratia' telah disalur kepada nelayan

SIMP: Lebih RM10 juta bayaran ‘ex-gratia’ telah disalur kepada nelayan

AZRUL Mahathir Aziz (berdiri, lima dari kanan) bersama sebahagian daripada nelayan pada majlis perasmian Mesyuarat Tahunan Kedua Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Berhad (KKPPSB) di George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebanyak RM10,079,390 bayaran ‘ex-gratia’ telah disalurkan ke dalam akaun nelayan yang berdaftar untuk skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) bagi projek Pulau Silikon, setakat ini.

Jumlah itu melibatkan seramai 680 orang nelayan yang telah menerima pembayaran penuh iaitu sehingga 100 peratus mengikut kelayakan serta tahap kategori masing-masing daripada keseluruhan 877 orang nelayan yang berdaftar.

Difahamkan, jumlah 680 orang nelayan itu termasuk 133 nelayan yang terlepas daripada senarai asal Jabatan Perikanan, namun, telah diluluskan bayaran mereka setelah rayuan dikemukakan.

Timbalan Speaker Pulau Pinang, Datuk Azrul Mahathir Aziz yang mewakili Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid selaku Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan berkata, ketika ini juga, proses pembayaran masih diteruskan untuk baki nelayan yang sedang mengemas kini dokumen sokongan mereka.

Azrul Mahathir yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas berkata, pada masa yang sama, sebanyak 1,361 kontrak bernilai RM295 juta yang berkaitan dengan projek Pulau Silikon turut diberikan kepada peniaga tempatan.

“Secara keseluruhannya, seramai 373 pekerja tempatan telah terlibat dalam projek ini termasuk 169 warga Pulau Pinang,” kata beliau pada majlis perasmian Mesyuarat Tahunan Kedua Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Berhad (KKPPSB) di sebuah hotel di sini.

Pada mesyuarat tersebut, KKPPSB yang kini dianggotai seramai 1,202 ahli telah mengumumkan kadar dividen sebanyak lima peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, kerajaan negeri tidak pernah berhasrat untuk menghalang komuniti nelayan daripada terus pergi ke laut dengan adanya pembangunan Pulau Silikon.

Sebaliknya, beliau yang juga merupakan Yang Dipertua KKPPSB berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memastikan komuniti nelayan dapat meneruskan aktiviti penangkapan dengan lebih maju, moden dan selamat.

“Saya berharap agar inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan ini dapat membantu anggota-anggota koperasi untuk terus berkembang maju, meningkatkan kemahiran, dan memanfaatkan peluang-peluang baru yang muncul dalamsektor ekonomi yangsemakin mencabar,” tambah beliau.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN