PETALING JAYA: Permintaan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) untuk parti itu diberi laluan bagi menandingi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah disebabkan semangat Kerajaan Perpaduaan tidak dirasai di Johor.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, di peringkat Persekutuan, pemimpin bercakap mengenai Kerajaan Perpaduan namun ia langsung tidak diterjemahkan dalam pentadbiran Johor.
“Secara praktiknya Kerajaan Perpaduan itu tidak wujud di Johor. Apabila ia tidak ada, Amanah berasa dipinggirkan. Jadi permintaan kami dengarlah.
“Jangan fikir mengenai kerusi semata-mata, lihat sendiri apa yang sebenarnya berlaku di Johor, Amanah langsung disisihkan, mana perpaduannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan berkata, parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak wajar menuntut kerusi bukan miliknya.
“Sila hormati kalau kerusi itu kepunyaan sesebuah parti. Jadi formulanya kerusi itu akan diberikan kepada parti berkenaan, bukan menuntut itu dan ini,” katanya.
Isu tuntutan kerusi DUN Mahkota timbul apabila Amanah Kluang menuntut diberi laluan bagi menandingi kerusi tersebut susulan kematian penyandang, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, Jumaat lepas.
Mempertahankan kenyataan sayap partinya, Mujahid berkata, apa yang dinyatakan Pemuda Amanah itu perkara biasa kerana mana-mana parti politik pasti ada kepentingannya tersendiri.
“Jadi Pemuda luahkan hasrat untuk bertanding di situ, tak ada isu pun sebenarnya. Tetapi kita yang sudah senior ini haruslah lebih matang.
“Saya kira keputusan akhir akan diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Jadi ia akan dimuktamadkan di situ,” katanya. – UTUSAN










