KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan Malaysia mengarahkan pihak sekolah meningkatkan kawalan keselamatan bagi memastikan insiden serangan terhadap guru yang berlaku di Sekolah Agama Rakyat Kafa Ehsaniah dekat Petaling Jaya, semalam, tidak berulang lagi.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sekolah adalah sebuah kawasan yang perlu selamat untuk menjaga keselamatan guru, pelajar dan semua kakitangan yang bertugas.
Menurutnya, tahap kawalan keselamatan yang tertinggi dapat mengelakkan warga sekolah terdedah kepada ancaman daripadan individu yang datang dari luar.
“Semua sekolah perlu dipastikan selamat untuk setiap warganya bagi mengelak berlakunya kejadian serangan ini berulang lagi.
“Sekolah mesti selamat untuk semua yang berada dalam kawasan tersebut,” katanya.
kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kempori Pengakap Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Teluk Ketapang, di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu, dua wanita termasuk guru besar di sekolah itu mengalami kecederaan selepas ditikam seorang lelaki bersenjatakan pisau ala rambo.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang, lelaki terbabit yang memakai pelitup muka dikatakan masuk ke kawasan surau berkenaan dan mengamuk.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan penuh dan perkembangan lanjut akan maklumkan daripada masa ke semasa.
“Kita harap semua pihak dapat memberi ruang terhadap siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan pula, beliau meminta ibu bapa supaya membuat pemantauan yang lebih ketat terhadap pergerakan anak-anak mereka bagi mengelak insiden remaja menyamar sebagai doktor kembali berulang.
Menurutnya, perkara yang berlaku itu amat mengejutkan namun berharap orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan lebih terperinci.
“Siasatan ini masih memerlukan pihak yang mengambil tanggungjawab penuh seperti ibu bapa dan yang terlibat secara keseluruhan dalam kes ini,” ujarnya. – UTUSAN










