SUNGAI SIPUT: Seekor lagi harimau kumbang berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di Ladang Jalong di sini semalam.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, haiwan liar dianggarkan berusia empat tahun dengan berat sekitar 45 kilogram (kg) itu memasuki perangkap tersebut pada awal pagi.
“Sebelum ini pada 26 Julai lalu, seekor harimau kumbang jantan telah masuk ke dalam perangkap yang dipasang di lokasi sama.
“Malah, tangkapan harimau kumbang ini adalah yang ketiga selepas harimau belang jantan berusia dua tahun dengan berat 75.5 kg pada 7 Julai lalu,” katanya di sini.
Menurut beliau, selepas dua tangkapan terdahulu, pihaknya terus mengaktifkan perangkap tersebut kerana mengesyaki terdapat lagi haiwan liar di kawasan berkenaan.
“Harimau kumbang yang memasuki perangkap hari ini dipercayai dari Hutan Simpan Bukit Kinta.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan luka pada muka haiwan itu dipercayai kerana melanggar perangkap dan rawatan telah diberikan doktor veterinar di lokasi,” katanya.
Tambahnya, harimau berkenaan akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk rawatan lanjut sebelum dilepaskan semula ke habitat asal. – UTUSAN










