Sedia berdepan risiko teknologi kuantum

Sedia berdepan risiko teknologi kuantum

KAPSYEN: Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari ketika berucap pada Majlis Perasmian Siber Siaga 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) sedia berdepan dengan risiko teknologi kuantum dan mengambil kesempatan terhadap potensi teknologi itu bagi mengukuhkan pertahanan negara.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, teknologi kuantum mempunyai masa depan yang kompleks iaitu ada berita baik dan buruk untuk negara.

Kata beliau, teknologi itu mampu mengubah ekonomi, meningkatkan keselamatan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat melalui potensinya.

“Namun, berita buruknya adalah risiko yang berkaitan dengan teknologi kuantum iaitu ia boleh melambatkan kemajuan atau lebih buruk membolehkan pelbagai negara memanfaatkan dominasi kuantum sebagai senjata strategik terhadap negara lain.

“Antara yang menjadi risiko adalah amalan tradisional ‘simpan sekarang, nyahkod kemudian’, dengan jangkaan kemampuan nyahkod di masa depan. Pendekatan ini menimbulkan ancaman serius, kerana maklumat yang disulitkan boleh terdedah apabila nyahkod kuantum menjadi tersedia,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Siber Siaga 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Adly berkata, teknologi kuantum berpotensi menjadikan kaedah penyulitan semasa usang.

Jelasnya, apabila komputer kuantum menjadi lebih maju maka ia boleh memecahkan algoritma penyulitan yang menjadi kunci kepada keselamatan digital negara.
“Oleh itu, penyelesaian penyulitan yang tahan kuantum diperlukan segera untuk melindungi data kita.

“Sehubungan itu, Mindef komited mengintegrasikan prinsip dan teknologi itu sendiri ke dalam struktur pemerintahan, untuk memastikan kelestarian ketenteraan dan dimensi strategik keselamatan,” katanya.

Tambahnya, teknologi kuantum turut menawarkan potensi tranformasi untuk komunikasi dan pengawasan yang selamat tetapi ia memerlukan kerjasama semua negara bagi mengatasi gangguan keselamatan global.

“Semua negara terutama ASEAN, mesti membangunkan strategi yang kukuh, rangka kerja keselamatan tahan lasak dan memupuk kerjasama antarabangsa untuk menguruskan perubahan kuasa yang dinamik.

“Paling penting, kita perlu mengiktiraf peranan sektor swasta dalam kemajuan dan penerapan teknologi kuantum. Mereka merupakan peneraju dalam penyelidikan serta pembangunan yang akan membentuk landskap masa depan dengan keupayaan kuantum.

“Kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta adalah penting, untuk memastikan pembangunan teknologi kuantum sejajar dengan keutamaan keselamatan negara serta pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN