SEGAMAT: Mengimbau kembali peristiwa 72 tahun lalu pasti meruntun jiwa setiap penduduk apabila ia mengorbankan enam anggota polis sewaktu solat Jumaat di Bekok, di sini.
Masih segar dalam ingatan Deputi Superintenden Mansor Omar, yang merupakan ahli Persatuan Sejarah Cawangan Johor mengenai ‘Kisah Solat Jumaat Terakhir’ perwira negara yang menggemparkan masyarakat di daerah terpencil ini pada 27 Disember 1952.
“Kisah menyayat hati ini diceritakan oleh bekas anggota polis, Rahim Ahmad di kediamannya di Rumah Rakyat, Bekok.
“Menurutnya, pada hari kejadian ia seperti hari-hari Jumaat sebelumnya yang mana orang kampung kebiasaannya melihat kelibat banyak anggota polis datang dari kawasan ladang berdekatan untuk bersama-sama menunaikan solat Jumaat.
“Hanya terdapat sebuah masjid sahaja di Pekan Bekok. Pada hari itu ada mengambil kesempatan membawa keluarga di pekan kecil itu mendapatkan keperluan mingguan kerana dalam masa darurat pergerakan sangat terbatas,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, baru-baru ini.
Katanya yang kini bertugas sebagai Ketua Bahagian Pengurusan IPD Johor Bahru Selatan, selepas membeli bekalan rutin harian, mereka kemudian singgah di Kampung Melayu Bekok kerana bagi golongan lelakinya mahu menunaikan solat Jumaat.
“Siapa pun tidak menyangka komunis bintang tiga rupanya merencana sesuatu kerana mereka tahu anggota polis kebiasaannya bersolat pada hari tersebut.
“Rahim memberitahu, dia baru bersiap hendak bertugas ketika itu dikejutkan rakan yang tergesa-gesa memberitahu ada polis kena tembak di Estet Bekok.
“Saat sampai di tempat kejadian, suasana sungguh menyayat hati. Lori yang anggota polis naiki bersama orang awam terhumban jauh dari laluan asal.
“Ada lubang besar sedalam hampir empat kaki di tengah-tengah jalan raya, percikan darah di sana sini dan yang paling sayu , ada seorang ibu dan bayinya berusia lebih kurang satu tahun kaku tak bergerak,” kongsinya sayu.
Tentera komunis meletupkan bom yang kuat kemudian menembak anggota polis menggunakan senjata bren gun, carbain dan raffle tanpa belas kasihan.
Selepas terompet dibunyikan, komunis berhenti dan menghilang.
Katanya, selepas bantuan datang, anggota polis yang tidak cedera mengikut jejak gerombolan itu hingga ke sempadan hutan.
Turut serta selepas itu adalah kumpulan askar Gurkha yang meneruskan pengintipan sehingga jauh ke dalam hutan.
“Pengganas (komunis) rupa-rupanya telah memasang bom dengan cara mengikatnya pada seberkas kayu api dan diletupkan dari jauh. Letupannya itu sangat kuat sehingga membentuk lubang yang besar dan kenderaan melambung serta terbalik terkeluar dari laluan asal,” katanya.
Akhbar utama Tanah Melayu ketika itu turut melaporkan kejadian tersebut dengan 10 kematian serta beberapa orang awam cedera parah dalam serangan pengganas komunis di Estet Sungai Bekok.
Mansor berkata, peristiwa berdarah itu menjadi parut yang tidak dapat dipadamkan oleh ahli keluarga serta rakan-rakan perwira negara. – UTUSAN










