Saya tidak terlibat - MB Selangor

Saya tidak terlibat – MB Selangor

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Saya tidak terlibat.”

Demikian reaksi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung dakwaan terhadap dua anak syarikat kerajaan negeri akan mengadakan pemukiman selama empat hari di Perth, Australia pada hujung bulan ini.

Menurutnya, beliau bukan ahli lembaga pengarah dalam syarikat yang terlibat meskipun ia di bawah Menteri Besar (Pemerbadanan) (MBI) dan belum menerima sebarang jemputan berhubung pemukiman tersebut.

“Tetapi, kalau tak tahu ataupun tidak terlibat, saya hanya menunggu kalau ada jemputan, baru saya akan semak balik, jadi kedudukan saya memang tak tahu terperinci dan tak pasti, tetapi mereka sedang tengok balik dan belum diputuskan oleh lembaga pengarah,” katanya kepada pemberita semalam.

Terdahulu, dua anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dan Central Spectrum (M) Sdn. Bhd. dilapor mahu mengadakan program pemukiman di Australia mengundang kecaman apabila ia turut melibatkan ahli politik.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah MBI memaklumkan pemukiman di luar negara bukan perkara baharu sebaliknya turut dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Jakarta, Indonesia.

Bagaimanapun, Amirudin menjelaskan pemukiman atau lawatan ke luar negara itu dibuat atas keperluan seperti yang dilakukan oleh syarikat Worldwide yang mengunjungi Australia kerana mempunyai aset dan projek di sana.

“Kalau mereka hendak pergi ke luar negara, mereka akan menghantar (kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)) untuk makluman, tetapi itu hal dalaman. Dibuat dahulu pun ketika zaman Mohamed Azmin, PNSB buat retreat di Jakarta dan ia mengikut kepada kepentingan dan kalau ada keperluan.

“Sebelum ini Worldwide pergi ke Perth, Australia sebab memang kita ada aset dan melawat projek di sana, jadi kita akan tengok kepada kepentingan.

“Tetapi, isu ini sangat pra matang kerana perkara tersebut belum di bawa ke lembaga pengarah lagi dan mungkin mereka kena semak balik selepas ia ditimbulkan dan mungkin mengambil persepsi yang begitu tidak positif,” tegasnya.

Katanya lagi, beliau mengingatkan pimpinan kerajaan negeri dan anak syarikat supaya berhati-hati dalam berbelanja dan melakukannya atas dasar kepentingan semua.

“Tetapi, kita sentiasa berhati-hati dalam berbelanja kerana yang penting syarikat mempunyai kapasiti ataupun tidak dan kedua, lawatan itu mesti mempunyai kaitan langsung yang membawa kepentingan kepada syarikat.

“Mereka (syarikat terlibat) belum melepasi lembaga pengarah dan selepas itu barulah di bawa ke MMKN dan keputusan tertinggi dibuat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN