"Saya berusaha sebaik mungkin selamatkan mangsa' - Tekong bot - Utusan Malaysia

“Saya berusaha sebaik mungkin selamatkan mangsa’ – Tekong bot

SAIPUL Ridzuan Osman menunjukkan gambar botnya yang karam ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN Tekong bot karam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Bot yang karam dipercayai dirempuh sebuah tongkang di perairan Kemaman didakwa dipasang lampu di sekelilingnya ketika kejadian berlaku pada pukul 6.30 pagi, Ahad lalu.

Tekong bot yang terselamat, Saipul Ridzuan Osman, 50, berkata, dia yang berpengalaman 17 tahun mengendalikan bot sentiasa menitikberatkan soal keselamatan penumpang bot tersebut pada setiap masa.

“Saya pelik kenapa bot yang menunda tongkang itu tidak perasan bot yang kami naiki sebab saya bukan hanya memasang satu lampu, tetapi boleh dikatakan sekeliling bot ada lampu yang terang dan boleh dilihat pada jarak yang jauh.

“Mungkin pemandu bot itu tertidur, sebab itu dia tidak menyedari bot kami yang sedang bersauh,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Bukit Kuang, di sini, hari ini.

Dalam tragedi itu, dua mangsa iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang berasal dari Selayang, Selangor dan tekong tempatan, Shahril Ismail, 50, terkorban

Sementara itu, dua lagi mangsa yang masih belum ditemui ialah Yusof Kassam,66, dan Aina Husna Mohamad Husaini, 25.

Bagaimanapun, lima mangsa lain, Rosnawi Harun, 50, Ain Farhana Mohamad Husaini, 30, Haziyah Harun, 63, Mat Ali Alahan, 66, dan tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50, terselamat.

Saipul Ridzuan memberitahu, dia sentiasa peka dengan keselamatan diri dan pemancing serta turut mempunyai lesen sah daripada Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, ketika kejadian, bot yang dikendalikannya bersama seorang pembantu tekong, Shahril Ismail, 50.

Jelasnya ketika kejadian, bot tersebut sedang bersauh untuk aktiviti mencandat sotong.

“Saya baru sahaja melelapkan mata untuk berehat. Namun, sebaik sahaja saya tersedar, saya terkejut melihat tongkang besar sudah berada di depan bot.

“Pada masa itu, saya hanya mampu menjerit kepada pemancing dan pembantu tekong untuk bersedia, namun kebanyakan mereka ketika itu sedang tidur.

“Rempuhan itu terlalu kuat menyebabkan bot yang kami naiki tenggelam hampir ke dasar,” katanya.

Saipul Ridzuan menambah, dia berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan kesemua mangsa ketika kejadian, namun gagal.

“Sejujurnya, ini merupakan insiden terburuk sepanjang saya menjadi tekong dan sehingga hari ini saya tidak lena tidur memikirkan tragedi ini dan saya sangat sedih apabila rakan saya turut terkorban,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN