PETALING JAYA: Polis akan memohon lanjutan tempoh tahanan reman empat individu termasuk tiga anggota polis yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes samun kediaman warga asing di Semenyih, Kajang dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keempat-empat suspek terbabit akan disambung reman bagi siasatan lanjut apabila tempoh reman pertama tamat hari ini dan esok.
Katanya, dalam tangkapan terbabit, terdapat beberapa rampasan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes samun dilakukan.
“Buat masa ini tiada perkembangan bahru kerana kita masih mencari seorang lagi suspek yang telah dikenal pasti identitinya termasuk nombor kad pengenalan dan alamat suspek.
“Fotofit akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini, Kita percaya suspek masih berada dalam negara.
Justeru, kita minta dia serah diri,” katanya ketika Majlis Pelupusan Barang Kes Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di Balai Polis Ara Damansara hari ini.
Hussein berkata, pihaknya akan melengkapkan siasatan untuk sebarang cadangan pertuduhan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat.
Menurutnya, tindakan dalaman tatatertib akan diambil Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas tempoh reman tiga anggota polis terbabit tamat.
“Selepas tempoh siasatan itu, sama ada kita tuduh atau beri jamin, dalam tempoh itu kontinjen (PGA) akan mengambil tindakan tahan kerja atau tindakan tatatertib diambil,” katanya.
Pada 1 Ogos lalu, media melaporkan dua anggota polis yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA), ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian samun ke atas sebuah rumah didiami warga asing Myanmar di Semenyih.
Kedua-dua suspek dipercayai antara sekumpulan lelaki yang dipercayai menyamun kediaman mangsa di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir, Semenyih, Kajang, sekitar pada 12.17 tengah malam, Isnin lalu.
Hussein dilaporkan berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Kajang) melakukan tangkapan terhadap dua anggota polis berusia 32 dan 35 tahun di Batalion 19, PGA, Cheras.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 7 Ogos.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 3, Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan jika disabit kesalahan boleh dihukum mati,” katanya.
Selain itu, Hussein dilaporkan berkata, dua lagi suspek termasuk seorang anggota direman pada 2 hingga 8 Ogos bagi siasatan lanjut.- UTUSAN










