KEPALA BATAS : Kementerian Dalam Negeri (KDN) enggan memberi sebarang komen berhubung kes pengamal media yang disiasat susulan laporan pertukaran kepimpinan tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi sebuah portal berita dalam talian tempatan baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak polis memiliki budi bicara dan kuasa penuh selaras undang-undang untuk menjalankan siasatan terhadap kes-kes berkaitan, namun, pengamal media juga perlu bertanggungjawab terhadap setiap penulisan yang diterbitkan.
“Saya tidak mahu ulas kes spesifik kerana ia dalam siasatan polis, tetapi, dalam dunia kewartawananan ini, saya fikir penulisan berita bertanggungjawab adalah keutamaan kita.
“Menulis mesti disertai pertanggungjawaban dan akauntabiliti, bukan sahaja kepada stesen atau syarikat-syarikat media, tetapi kepada rakyat secara keseluruhannya. Hal ini juga sama seperti di kementerian yang mempunyai tanggungjawab dan akauntabiliti dalam setiap perkara yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung bantahan Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keupayaan wartawan untuk menjaga kerahsiaan sumber tanpa nama.
Terdahulu, Saifuddin ditemui pada Majlis Sua Mesra Bersama KDN yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad di Kepala Batas, di sini, hari ini.
Geramm dan NUJM sebelum ini memaklumkan, sebarang berita tidak seharusnya dinilai sebagai tidak benar atau tidak sah hanya kerana memetik sumber dengan identiti dirahsiakan.
Ia susulan kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menasihatkan wartawan supaya memberi kerjasama kepada polis dalam siasatan pihak berkuasa itu terhadap sumber berita.
Selasa lalu, media melaporkan polis telah membuka kertas siasatan susulan laporan sebuah portal berita berhubung perubahan jawatan membabitkan beberapa nama-nama besar dalam agensi PDRM yang tular.
Dalam laporan itu mendakwa Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain antara nama yang bakal ditukarkan ke agensi lain di bawah KDN.-UTUSAN










