KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor gagal menangguhkan prosiding kes saman syarikat barang kemas Global Royalty Trading SAL berpangkalan di Lubnan berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan perbicaraan didengar di hadapan Hakim Ong Chee Kwan dari 2 hingga 6 Jun tahun depan seperti dijadualkan sebelum ini.
Perkara itu disahkan peguam Rosmah, Rajivan Nambiar ketika dihubungi wakil media, hari ini.
Isteri bekas Perdana Menteri memohon prosiding kes ditangguhkan sementara menunggu Mahkamah Rayuan memutuskan rayuannya untuk memasukkan kerajaan dan polis sebagai pihak ketiga dalam kes saman itu.
“Permohonan penangguhan itu difailkan kerana rayuan Datin Seri di hadapan Mahkamah Rayuan untuk membawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan sebagai pihak ketiga belum selesai.
“Jika prosiding di hadapan Mahkamah Tinggi diteruskan, ia tidak sepatutnya menjejaskan prosiding pihak ketiga sekiranya Datin Seri berjaya dalam rayuan.
“Mahkamah Tinggi berpendapat, jika Datin Seri berjaya dalam rayuannya, mahkamah akan memberi arahan baharu mengenai prosiding antara defendan (Rosmah) dan pihak ketiga. Oleh itu, mahkamah tidak membenarkan permohonan penangguhan,” katanya.
Global Royalty selaku plaintif memfailkan saman pada 29 Mei 2023 dengan mendakwa Rosmah berbohong dengan menyatakan 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan seorang ejen syarikat itu kepadanya, dirampas pihak berkuasa Malaysia.
Rampasan itu berhubung kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis manakala baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa.
Global Royalty juga mendakwa isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya sudah hilang. – UTUSAN










