PUSPAKOM syarikat pertama diberi kuasa jalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor

PUSPAKOM syarikat pertama diberi kuasa jalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor

Anthony Loke (tiga dari kanan) ketika majlis pemberian kuasa kepada PUSPAKOM bagi menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor di negara ini di bawah mekanisme baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Sdn Bhd dilantik sebagai syarikat pertama diberi kuasa menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor di negara ini di bawah mekanisme baharu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, menerusi pemberian kuasa di bawah Seksyen 126 (1), Akta 333, PUSPAKOM boleh menyediakan perkhidmatan pemeriksaan
kenderaan motor di pusat-pusat pemeriksaan di seluruh negara kepada pelanggan dan orang ramai.

Beliau berkata, setakat ini, sambutan dari industri untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang ditetapkan di bawah Akta 333 adalah positif.

“Ketika taklimat diadakan sebelum ini, ada 50 syarikat datang dan berminat menyediakan perkhidmatan itu. Namun, setakat ini hanya dua syarikat telah menghantar permohonan.

“Jika permohonan dihantar lebih awal, kami akan menilainya terlebih dahulu dan jika diluluskan mereka boleh terus beroperasi tanpa perlu menunggu tarikh akhir permohonan iaitu Oktober ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pemberian kuasa kepada PUSPAKOM di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan menjemput dan menggalakkan mana-mana pihak yang berkelayakan dan kompeten untuk memohon pemberian kuasa bagi melaksanakan dan menyediakan perkhidmatan yang sama di negara ini.

Loke berkata, garis panduan permohonan pemberian kuasa atau lesen bagi tujuan tersebut boleh diperolehi daripada laman web Kementerian Pengangkutan atau
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Tarikh tutup bagi mengemukakan permohonan adalah pada 31 Oktober 2024,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk tidak mengekalkan hak eksklusif kepada PUSPAKOM bagi melaksanakan fungsi pemeriksaan kenderaan motor di negara ini.

Perkara itu diputuskan pada 17 Mac lalu dan tempoh pemberian kuasa dan perjanjian konsesi PUSPAKOM tamat pada 27 dan 31 Ogos ini.

Sejak 1994, PUSPAKOM adalah satu-satunya entiti tunggal yang menjalankan fungsi itu di negara ini mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×