JAKARTA: Rancangan Indonesia membekalkan makanan kepada kira-kira 83 juta pelajar di negara ini, dijangka meningkatkan import susu dan merangsang industri tenusu negara yang kurang berkembang.
Program diusulkan Naib Presiden, Prabowo Subianto yang menelan belanja RM124 bilion apabila dilaksanakan sepenuhnya, bertujuan meningkatkan pengambilan nutrisi kanak-kanak Indonesia, di mana pengambilan susu adalah rendah dengan 21.5 peratus kanak-kanak berusia kurang lima tahun mengalami pertumbuhan terbantut.
Kementerian Pertanian Indonesia menyatakan, program makan tengah hari yang turut melibatkan pemberian makanan percuma untuk ibu mengandung itu, akan memerlukan 4.1 juta tan susu.
Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) menjangkakan Indonesia akan mengguna 4 juta tan susu tahun ini.
Hanya 16% daripada permintaan tenusu di negara ini dipenuhi dengan bekalan susu segar domestik.
Ini bermakna Indonesia perlu meningkatkan import produk tenusu termasuk susu tepung dari pembekal seperti New Zealand dan lembu hidup dari Australia.
Pengurus Besar Perkhidmatan Badan Tenusu Australia, Charlie McElhone berkata, Indonesia adalah satu prospek pasaran yang besar dengan jumlah 83 juta pelajar sekolah dan ibu mengandung.
“Kami sedang berbincang dengan Indonesia mengenai peluang ini. Kami juga menunggu Prabowo untuk memberikan penjelasan lebih lanjut setelah beliau memegang jawatan Presiden Oktober ini,” katanya.
Penggunaan susu per kapita tahunan Indonesia adalah 16.27 kilogram, jauh ketinggalan berbanding negara jiran Asia Tenggara seperti Thailand dan Vietnam yang masing-masing pada 26 kilogram dan 100 kilogram. – AGENSI










