GUA MUSANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diperoleh sebelum pukul 9 malam esok.
Setiausanya, Datuk Ikmalrudin Ishak bagaimanapun berkata, semua itu bergantung kepada perjalanan urusan berkenaan.
“Jika segala urusan berjalan lancar dan tiada masalah, keputusan akan diperoleh sebelum pukul 9 malam.
“Proses pengundian esok bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang. Namun untuk PDM di Pos Orang Asli, tempoh mengundi mereka ada yang tamat pukul 2 dan 3 petang,” katanya semasa turun padang meninjau kerja-kerja penghantaran peti undi kepada dua Pos Orang Asli, di sini, hari ini.
PRK Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggunakan logo Pas.
BN mempertaruhkan Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sementara Bersatu Mohd. Rizwadi Ismail.-UTUSAN











