PETALING JAYA: Rapid KL mengumumkan semua perkhidmatan rel merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Sistem Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway serta laluan bas terpilih akan beroperasi selama 24 jam pada malam 30 Ogos 2024, bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-67.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, perkhidmatan yang dipertingkatkan ini dijalankan buat kali pertama sebagai inisiatif untuk menyokong usaha kerajaan bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kemerdekaan.
“Sehubungan itu, semua servis rel akan beroperasi bermula dari jam 6.00 pagi pada 30 Ogos sehingga 11.30 malam pada 31 Ogos 2024.
Rapid KL juga turut menyediakan 60 bas perantara percuma dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya bermula jam 6 petang, 30 Ogos hingga jam 3 petang, 31 Ogos bagi memudahkan warga kota yang ingin meraikan Sambutan Hari Kemerdekaan 2024 yang bakal berlangsung di Putrajaya,” katanya.
Tambahnya, sebanyak sembilan buah bas akan disediakan dari MRT Putrajaya Sentral ke lokasi-lokasi menarik di sekitar Putrajaya seperti Taman Botani, Marina Putrajaya, Alamanda dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 31 Ogos.
“Pihak Prasarana amat berbangga kerana dapat menyediakan perkhidmatan ini buat rakyat Malaysia dan kami berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.
“Lebih 4,000 kakitangan barisan hadapan Rapid KL akan bertugas secara syif bagi memastikan kelancaran operasi 24 jam dan memberikan pengalaman perjalanan yang baik sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2024,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Prasarana di sini.
Menurut Mohd. Azharuddin, perkhidmatan 24 jam ini juga dapat memberi peluang kepada warga kota yang ingin hadir menyaksikan Sambutan Ambang Kemerdekaan yang bakal diadakan di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Putrajaya.
“Justeru itu, pihak Prasarana menjemput warga kota untuk menggunakan perkhidmatan rel dan bas Rapid KL bagi mengelakkan kesesakan.
“Lebih 10,000 petak parkir tersedia di beberapa stesen rel terpilih,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, Prasarana dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama anggota Polis Bantuan akan ditugaskan untuk membantu penganjur bagi kelancaran lalu lintas.
Beliau menasihati agar pengguna jalan raya sekitar Putrajaya mematuhi arahan pihak
berkuasa dengan tidak menghalang laluan bas sepanjang sambutan berlangsung.
Pengguna juga disarankan untuk memastikan baki kad Touch ‘n Go anda sentiasa mencukupi. – UTUSAN










