Populasi Greater Kuala Lumpur cecah 9.8 juta orang pada 2030

Populasi Greater Kuala Lumpur cecah 9.8 juta orang pada 2030

DR. ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Populasi di Greater Kuala Lumpur kini dianggarkan melebihi 8.8 juta orang dengan peningkatan tahunan sebanyak 2.25 peratus berbanding tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, jumlah itu dijangka bertambah mencecah 9.8 juta orang menjelang 2030.

Sehubungan itu, katanya, pembangunan pesat itu menuntut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi lebih proaktif dalam perancangan dan penyediaan infrastruktur.

“Pertumbuhan populasi ini bukan sahaja melibatkan peningkatan semula jadi dalam kawasan bandar, malah migrasi masuk yang tinggi dari luar bandar.

“Ini memberi tekanan kepada infrastruktur sedia ada dan menuntut supaya kita menyediakan satu perkhidmatan asas yang lebih baik buat semua warga kota agar Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar berdaya huni.

“Tidak dilupakan juga isu seperti pencemaran udara dan kekurangan ruang hijau menjadi antara kebimbangan utama yang perlu diatasi,” katanya pada pelancaran 10 Garis Panduan Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Menara 1 DBKL semalam.

Zaliha berkata, DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu terus peka dengan keperluan dan kehendak semasa pembangunan di ibu negara bagi memastikan kehidupan yang berkualiti.

“Setiap keputusan pembangunan perlu dibuat dengan pertimbangan yang wajar untuk memastikan keseimbangan di antara pembangunan dan kesejahteraan warga kota,” katanya.

Mengenai pelancaran garis panduan berkenaan, Zaliha berkata, ia bertujuan memastikan amalan tata kelola yang baik diamalkan di DBKL dengan setiap langkah perancangan pembangunan dipantau secara berkesan.

Katanya, ia juga bertujuan menilai tahap keberkesanan sesuatu polisi serta strategi dilaksana dan mempromosi penambahbaikan berterusan.

“Setiap garis panduan ini hasil daripada kajian terperinci dan konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Dengan pendekatan yang inklusif seperti ini, saya berharap agar ia akan memberi impak positif kepada setiap warga kota,” katanya.

Garis panduan itu antaranya merangkumi perancangan residensi Madani; kemudahan ruang penjaja Madani; pelaksanaan perancangan pembangunan petak pengecasan kenderaan elektrik dan semakan bangunan rendah karbon.

Semua garis panduan berkenaan akan dipaparkan kepada awam melalui laman web DBKL untuk rujukan semua pihak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN