Pindaan RUU kekang jenayah tipu guna akaun keldai

Pindaan RUU kekang jenayah tipu guna akaun keldai

Ramli Mohamed Yoosuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan lebih tegas boleh diambil terhadap mana-mana akaun keldai setelah Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 diluluskan Dewan Rakyat dan akan diwartakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ketika ini sukar memperoleh ketera­ngan bagi mendapatkan sabitan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana ketiadaan pengecaman oleh mangsa terha­dap suspek yang ditangkap polis terutama keldai akaun bank.

Katanya, sebelum ini ramai suspek keldai akaun diberi arahan tuduh oleh Timbalan Pendakwa Raya mengikut kesa­lahan umum seperti Seksyen 424 Kanun Keseksaan (melindu­ngi harta dengan curang) atau Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil iaitu gagal memberi kete­rangan terhadap sesuatu harta.

“Melalui Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 yang dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 dan 11 Julai 2024 lalu, isu siasatan berkait penggunaan akaun keldai ini dapat diperkasakan.

“Seterusnya, pada 22 Julai lalu, kedua-dua RUU ini dibentang dan diluluskan Dewan Negara. Alhamdulillah, perkembangan ini satu langkah yang amat positif,” katanya di sini.

Ramli berkata, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua Yang Berhormat Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara atas keputusan yang dicapai.

“PDRM percaya setelah diwartakan kelak, undang-undang ini menjadi satu meka­nisme berkesan dalam usaha menangani penggunaan keldai akaun sekali gus mengurangkan berlakunya jenayah penipuan.

“Sebagai makluman, pindaan undang-undang ini melibatkan penambahan beberapa peruntukan tambahan merangkumi Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D Kanun Keseksaan.

“Peruntukan ini adalah berhubung kesalahan berkaitan akaun keldai termasuk memiliki, mengawal menyerahkan dan menggunakan kad ATM, kad kredit, e-wallet dan sebarang kaedah pembayaran,” katanya.

Beliau berkata, bagi pindaan Kanun Tatacara Jenayah akan melibatkan penambahan peruntukan Seksyen 116D yang bakal memberikan kuasa kepada pegawai polis dengan pangkat tidak kurang dari sarjan untuk merampas atau menyekat urusan berkaitan transaksi kewa­ngan.

Terdahulu, media melaporkan polis mengesan terdapat penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang memberi kebenaran kepada sindiket penipuan dalam talian untuk menggunakan akaun bank mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×