PENGUMUMAN Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong yang menggariskan hala tuju baharu negara itu dalam ucapan Perhimpunan Hari Kebangsaan (NDR) sekali gus membayangkan pilihan raya umum dijangka dalam masa terdekat.
Jika pilihan raya berlaku pada tahun ini, ia menjadi ujian pertama kepada Wong dan sejauh mana sokongan rakyat kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) selepas 60 tahun berkuasa.
Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa pilihan raya umum paling awal adalah September ini dengan mengambil kira selepas Hari Kebangsaan dan NDR yang menjadi acara tahunan di mana Perdana Menteri akan menggariskan dasar dan hala tuju negara.
Malah akhbar Singapura, The Straits Times menerusi analisis melihat September merupakan waktu sesuai untuk Wong mengadakan pilihan raya memandangkan cuti persekolahan bermula 31 Ogos hingga 8 September kerana kebiasaannya sekolah digunakan sebagai tempat mengundi.
Malah pada kebelakangan ini, tular mesej bahawa hari pengundian kononnya ditetapkan pada 6 September.
Namun perkara ini adalah mustahil berlaku, memandangkan baki seminggu untuk melakukan persiapan pilihan raya yang bermula daripada pembubaran Parlimen, penamaan calon dan hari pengundian yang memakan masa antara sebulan hingga tiga bulan.
Selain September, pilihan raya umum mungkin berlangsung pada suku pertama 2025 iaitu selepas Tahun Baharu Cina selepas mengambil kira sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2025 yang kebiasaan rakyat Singapura pergi melancong.
Bagaimanapun pilihan terakhir adalah pada sebelum November 2025 di mana tempoh Parlimen Singapura mencapai genap lima tahun sejak negara itu mengadakan pilihan raya umum pada 2020 iaitu ketika dunia berdepan Covid-19.
Menurut ahli akademi Universiti Pengurusan Singapura, Prof Madya Eugene Tan menyifatkan Wong dilihat tidak tergesa-gesa untuk mencari mandat baharu selepas mengambil tugas daripada Lee Hsein Loong pada Mei lalu.
“Beliau memerlukan masa untuk mendapat sokongan padu bagi meraih mandat kukuh,” katanya kepada The Straits Times.
Wong yang juga Menteri Kewangan dipilih sebagai pengganti Hsein Loong pada 2022 oleh satu jawatankuasa PAP yang memerintah tanpa gangguan sejak kemerdekaan Singapura pada 1965.
Beliau kini yang menjadi Perdana Menteri keempat dalam sejarah Singapura mengalas tugas besar mengetuai PAP ke pilihan raya umum akan datang, yang dijangka pada bila-bila masa atau sebelum November 2025.
Ahli Parlimen GRC Marsiling-Yee Tee itu mengambil tugas besar PAP apabila pilihan raya pada 2020, pembangkang menunjukkan prestasi terkuat sejak merdeka tetapi sokongannya hampir tidak merosot di Parlimen kerana 83 daripada 93 kerusi dimenangi oleh PAP.
Selain itu, imej bersih PAP, baru-baru ini dicemari oleh skandal yang menyaksikan dua ahli parlimennya meletak jawatan dan seorang lagi menteri didakwa dengan rasuah.
Bermula pengasas Singapura dan PAP, Lee Kuan Yew kemudian Goh Chok Tong dan Hsien Loong, maka Wong meneruskan kesinambungan sama ada PAP terus berkuasa atau sebaliknya, terjawab dalam pilihan raya akan datang.










