KUALA TERENGGANU: Kawasan kolam semula jadi di Pasir Panjang, Pulau Redang dekat sini yang berada dalam keadaan tidak terurus dan kotor akan diatasi selewat-lewatnya awal tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan Terengganu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi kerja-kerja membersihkan kawasan tersebut.
Menurutnya, masalah tersebut telah lama berlaku di kawasan tersebut dan perlu diberi perhatian segera kerana kawasan berkenaan dikunjungi pelancong di pulau peranginan itu.
“Kerja-kerja pembersihan akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan dijangka siap selewat-lewatnya awal tahun depan.
“Peruntukan yang diluluskan ini adalah komitmen kerajaan negeri bagi memastikan kawasan tumpuan pelancong sentiasa bersih dan terjaga.
“Harapan kita sudah tentulah usaha ini dapat memulihkan semula keadaan persekitaran di Pasir Panjang agar terus terjaga dengan sempurna,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, beliau telah melawat kawasan tersebut pada akhir Julai lalu dan memutuskan masalah kebersihan perlu diambil tindakan segera.
“Dalam lawatan kerja itu juga, saya telah menemui ramai penggiat industri pelancongan di Pulau Redang dan mengambil tahu cadangan positif daripada mereka.
“Kerajaan negeri sentiasa peka dan proaktif dalam memastikan Pulau Redang kekal menjadi destinasi percutian terbaik peringkat antarabangsa.
“Isu seperti kebersihan tidak boleh dibiarkan berlarutan terlalu lama dan tanggungjawab ini perlu dipikul semua pihak untuk memastikan Terengganu sentiasa bersih dan ceria untuk menyambut kedatangan pelancong,” katanya. – UTUSAN









