BALIK PULAU : Seorang peniaga didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menipu perjanjian sewa sebuah rumah dengan menggunakan kad pengenalan individu yang telah meninggal dunia.
Penipuan itu dibuat bagi membolehkan aktiviti bitcoin dijalankan dengan cara mencuri arus elektrik syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) secara haram di premis tersebut.
Tertuduh, Lim Chong Lim, 42, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Selain hukuman denda, mahkamah turut memerintahkan agar tertuduh menjalani hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menipu seorang lelaki berusia 43 tahun secara bersemuka dengan menggunakan maklumat butiran kad pengenalan milik Chew Kok Wah, 48, untuk menandatangani surat perjanjian ‘tenancy agreement’ menggunakan khidmat ejen sebuah syarikat.
Perbuatan itu dilakukan bagi menyewa rumah di Lintang Kampung Masjid 4, Teluk Kumbar bagi tujuan menjalankan aktiviti cari gali bitcoin dengan cara mencuri arus elektrik syarikat TNB secara haram, bermula pada 15 Ogos 2021 sehingga 3 Julai 2022.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.30 petang, 6 Ogos 2021 di No 597, Jalan Ayer Putih Balik Pulau di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua duanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh menggunakan kad pengenalan seorang lelaki yang telah meninggal dunia untuk menandatangani perjanjian sewa rumah berkenaan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh kerana pemilik premis yang disewa oleh tertuduh telah disaman lebih RM100,000 oleh TNB.
Tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun memohon agar dikenakan hukuman yang ringan kerana hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM5,000 dan pada masa yang sama, perlu menanggung keluarganya.-UTUSAN










