Pengusaha kantin sekolah rugi RM131,000 ditipu 'phone scam' - Utusan Malaysia

Pengusaha kantin sekolah rugi RM131,000 ditipu ‘phone scam’

AZLI MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pengusaha kantin sekolah di daerah ini mengalami kerugian RM131,000 setelah menjadi mangsa sindiket ‘phone scam’ sejak 31 Julai lalu.

Kejadian bermula dengan suspek menelefon mangsa dan menyamar sebagai Pegawai Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) sebuah bank.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, berkata, mangsa diberitahu kononnya akaun banknya telah disalah guna oleh pihak lain.

Menurut beliau, suspek kemudian meminta mangsa mendedahkan maklumat perbankan serta kewangannya dan isteri bagi tujuan siasatan aktiviti penggubahan wang haram.

“Selepas itu, mangsa yang berusia 48 tahun menerima kiriman dan panggilan WhatsApp kononnya pegawai penyiasat yang meminta mangsa memindahkan sejumlah wang.

“Transaksi itu juga kononnya dibuat ke dalam akaun juruaudit Bank Negara Malaysia (BNM) dan suspek juga menakut-nakutkan mangsa dengan dokumen waran tangkap.

“Mangsa turut diugut dengan pembekuan aset sehingga dia memindahkan RM131,000 melalui enam transaksi ke dalam tiga akaun berbeza sejak 31 Julai lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azli menjelaskan, suspek berjanji akan memulangkan wang berkenaan kepada mangsa dalam tiga hari kononnya selepas siasatan selesai dijalankan.

Tambahnya, mangsa hanya menyedari telah tertipu dengan sindiket ‘phone scam’ selepas dia tidak menerima sebarang bayaran semula dalam tempoh berkenaan.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu, 4.30 petang semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×