ALOR SETAR: Seorang pengurus besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM30,000, lima tahun lepas.
Tertuduh, Nurizah Noordin, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, Nurizah yang juga Pengurus Besar PPK Lubuk Batu didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan menunaikan sekeping cek PPK berkenaan atas nama Roslin Allias bernilai RM30,000.
Tertuduh yang juga ibu kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jitra Kubang Pasu pada pukul 3.30 petang pada 30 Januari 2019.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun selain sebatan dan denda.
Turut dituduh di mahkamah itu ialah Roslin, 40, yang didakwa bersubahat dengan Nurizah melakukan pecah amanah dengan menunaikan cek milik PPK berkenaan pada waktu dan lokasi sama.
Dia turut mengaku tidak bersalah setelah didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 409 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun selain sebatan dan denda.
Terdahulu peguam kedua-dua tertuduh, Rafie Nordin Sani memohon agar jaminan RM30,000 yang diminta pihak pendakwaan dikurangkan ekoran anak guamannya mempunyai tanggungan keluarga masing-masing termasuk anak yang masih bersekolah.
Hakim Priscilla Hemamalini menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua tertuduh serta 5 September depan sebagai tarikh sebutan semula. Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan masing-masing. -UTUSAN










