KUALA LUMPUR : Pelakon, Qasrina Karim, 29, tidak menolak pernah berdepan dengan situasi menyedihkan apabila menjadi bahan kutukan ramai gara-gara berdahi ‘jendul’.
Qasrina berkata, meskipun perkara itu telah lama berlaku, sukar untuknya membuang perasaan sedih terutama apabila mengenangkan sikap segelintir warganet yang tidak sensitif ketika melontarkan komen di media sosial.
“Bagi saya ini juga antara perkara yang boleh dianggap sebagai buli siber. Ketika kejadian, saya masih baharu tetapi ia tetap berbekas di hati dan mengganggu kesihatan mental saya.
“Kadangkala apabila baca komen begitu ia membuatkan saya terfikir apa salah saya? Fizikal dijadikan bahan kecaman, bukannya saya ini buat kontroversi atau apa?
“Bagi saya tidak adil. Orang yang mengecam itu tidak kenal pun saya. Jadi saya hairan macam mana mereka boleh jadi kurang sensitif sebegitu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui semalam.
Selain itu, jelas pelakon drama Legenda Puteri Qaseh siaran Astro Ceria, pada awalnya dia sukar menghadam segala kecaman tersebut namun mengakui semakin matang dalam mengawal emosi sendiri.
“Masa kejadian itu berlaku, saya tidak pandai lagi mahu mengawal keadaan. Masa itu saya akui hanya mampu menangis dan mengadu dengan ibu, keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja.
“Sekarang saya semakin okey. Lagipun apabila fikir balik, mereka ini guna akaun palsu dan hanya berada di sebalik skrin.
“Saya harap pengguna media sosial lebih berhemah apabila memberi komen. Harus tahu, artis pun manusia juga,” katanya. – UTUSAN










