KUALA KRAI: Lebih 10,000 penduduk pedalaman di daerah ini kini tidak lagi perlu membeli barangan keperluan harian termasuk bahan api pada harga tinggi apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melaksanakan program penyeragaman harga.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, usaha itu bertujuan membantu
mengurangkan kos sara hidup dan perbelanjaan barangan keperluan harian serta asas melibatkan kawasan-kawasan Pasir Kelang Baru, Pasir Kelang Lama, Kampung Taku, Estate Taku, Kampung Buyong dan Kampung Bahagia.
“Menerusi program ini, penduduk dapat menikmati harga barangan keperluan seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, gas petroleum cecair dan petrol RON95 seperti harga yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Sebelum ini, penduduk di kawasan ini terpaksa menerima harga barangan yang agak tinggi berbanding di bandar disebabkan kos pengangkutan untuk menyeberangi sungai serta kos-kos lain,” katanya pada pemberita selepas majlis pelancaran Program Penyeragaman Harga Bagi Zon Kuala Krai di Pasir Kelang Mini Mart Kampung Pasir Kelang Baru di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azman memberitahu, pada masa sama, KPDN melaksanakan Jualan Rahmah bergerak bagi kemudahan penduduk.
Katanya, sebanyak 37 jenis barangan keperluan dan asas dibawa untuk Jualan Rahmah ini membabitkan potongan harga sehingga 30 peratus.
“Program ini menerima sambutan yang memberangsangkan daripada penduduk setempat yang berpeluang menikmati barangan keperluan dengan harga yang lebih murah,” ujarnya. – UTUSAN








