MELAKA: Seorang pemuda berdepan detik hitam selepas dia mendakwa diliwat seorang lelaki warga Pakistan ketika sedang mencari pekerjaan di sebuah kedai perabot di Tanjung Minyak di sini, semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, mangsa berusia 22 tahun telah membuat laporan polis pada pukul 2.03 petang dan seorang suspek lelaki berusia 36 tahun ditahan pada pukul 6.30 petang hari yang sama.
Kata beliau, mangsa mendakwa telah diliwat suspek ketika datang ke premis berkenaan untuk mencari kerja kosong kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Sebaik tiba di premis tersebut mangsa telah berjumpa dengan suspek yang merupakan penjaga kedai warga Pakistan. Suspek mengajak mangsa naik ke bahagian atas kedai untuk diperkenalkan dengan pengurus kedai.
“Bagaimanapun, mangsa mendapati tiada orang lain di situ dan suspek secara tiba-tiba menarik tangannya secara paksa ke dalam sebuah bilik kecil. Suspek telah membuka seluar mangsa lalu mencium beberapa bahagian tubuh mangsa dan meliwatnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Zainol, sebaik berjaya melarikan diri mangsa telah dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut dan mendapati terdapat kesan koyakan baharu pada dubur mangsa.
“Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK) iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii,” katanya.
Terdahulu, suspek direman lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan meliwat seorang pemuda yang datang untuk mencari pekerjaan.
Perintah reman sehingga 11 Ogos ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.-UTUSAN










