KEMATIAN Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh dalam serangan di Tehran, Iran pada Rabu lalu mencetuskan pelbagai kemungkinan terutamanya perkembangan perang Palestin dan Israel yang berlarutan lebih tujuh bulan.
Antaranya kemungkinan serangan balas terhadap dalang terlibat membunuh Ismail dan ketidaktentuan nasib penduduk Gaza yang hampir setiap hari diserang Israel serta sejauh mana kejayaan pelan gencatan senjata api.
Namun paling utama adalah pelan gencatan senjata apabila Ismail merupakan individu penting dalam merangka rundingan tersebut.
Menurut penganalisis antarabangsa, Dr. Azmi Hassan berkata, pembunuhan terancang itu memperlihatkan sikap Israel mahu menghalang rancangan gencatan senjata api kerana pihak zionis mahu meneruskan usaha menakluki Gaza.
Beliau menambah, Ismail sebagai seorang pemimpin pendirian sederhana dilihat mampu meneruskan rundingan tersebut.
“Walaupun Amerika Syarikat (AS) menggerakkan rundingan ini, tetapi Israel dan Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu seolah-olah main tarik tali kerana enggan bersetuju usaha menghentikan konflik.
“Dengan ketiadaan Ismail, usaha ke arah gencatan senjata api akan dilihat sukar apabila mungkin penggantinya akan bertindak radikal untuk menolak bulat-bulat pelan gencatan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berikut tiga andaian bakal berlaku selepas kematian Ismail:
1. Serangan balas
Kenyataan terbaharu pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang berikrar membalas dendam kematian pemimpin Hamas itu sekali gus menguatkan andaian bahawa negaranya bersama sekutu dijangka melakukan serangan balas.
Iran dan Hamas menyalahkan Israel berhubung serangan udara terhadap Ismail, walaupun tidak mengaku atau menafikan terlibat.
Menurut laporan New York Post memetik sumber pegawai Iran, tindakan akan dilakukan oleh Teheran masih belum jelas, namun komander tenteranya mempertimbangkan serangan dron dan peluru berpandu menyasarkan kemudahan tentera berhampiran Tel Aviv dan Haifa.
2. Pelan gencatan senjata api mungkin gagal dicapai
Semasa perang Israel ke atas Gaza, Ismail dianggap sebagai individu paling kritikal dalam merintis rundingan gencatan senjata yang dikendalikan oleh Qatar, AS dan Mesir.
Walaupun ada mengatakan rundingan tersebut masih tidak menentu, namun terdapat tanda-tanda bahawa ia hampir untuk mencapai perjanjian.
Bagaimanapun menurut AlJazeera, pembunuhan itu adalah satu tamparan hebat sekali gus berpeluang besar untuk menamatkan peluang perjanjian yang akan berlaku.
“Bagaimana rundingan boleh berjaya apabila satu pihak membunuh perunding di pihak lain?” kata Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al Thani selaku seorang pengantara dalam rundingan itu.
“Keamanan memerlukan rakan kongsi yang serius dan pendirian global menentang pengabaian terhadap kehidupan manusia,” tulis Al Thani dalam akaun media sosial X.
3. Pengganti Ismail mungkin lebih radikal
Meskipun Khaled Meshaal dikhabarkan bakal menjadi pemimpin baharu Hamas menggantikan Ismail, namun tidak menolak bakal pemimpin Hamas lebih radikal atau keras berbanding sebelum ini.
Hal ini kerana Hamas memerlukan seorang pemimpin lebih radikal agar boleh membuat keputusan tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin dan serangan berterusan zionis Israel terhadap penduduk Gaza yang berlaku hampir setiap hari ini.
Berbanding Ismail, beliau bukan sahaja watak penting di belakang pelan gencatan senjata api namun Deklarasi China yang membawa perpaduan antara Hamas dan Fatah.
Jika ia berlaku, mungkin bukan sahaja rundingan bakal menemukan titik noktah malah mungkin usaha mengakhiri konflik perang Palestin dan Israel dilihat sukar dinoktahkan.










