Pemandu kontena maut rempuh lori rosak - Utusan Malaysia

Pemandu kontena maut rempuh lori rosak

MUHAMAD Zaini Zackria meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikalnya merempuh lori sampah yang rosak di Jalan Lencongan Timur berhampiran lampu isyarat Taman Cendana di Sungai Petani. -IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pemandu kontena maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori sampah yang rosak di Jalan Lencongan Timur berhampiran lampu isyarat Taman Cendana, di sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Muhamad Zaini Zackria, 51, dari Bandar Seri Astana, di sini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam perjalanan ke tempat kerja di Tikam Batu.

“Lori sampah jenis Isuzu milik sebuah syarikat dipandu lelaki berusia 59 tahun itu mengalami kerosakan dan berhenti di bahu jalan sebelah kiri laluan berkenaan.

“Sampai di lokasi kejadian mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh bahagian belakang kenderaan itu menyebabkan motosikalnya rosak teruk di bahagian hadapan dan mangsa maut serta-merta,” katanya.

Tambah Wan Azharuddin, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk proses bedah siasat.

“Pemandu lori sampah yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu tidak mengalami kecederaan tetapi dia ditahan untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN