Pelajar dalam perjalanan ke sekolah maut dihempap pokok - Utusan Malaysia

Pelajar dalam perjalanan ke sekolah maut dihempap pokok

POKOK tumbang menghempap seorang pelajar yang maut dalam kejadian di Kampung Charuk Sireh, Sik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Seorang pelajar tingkatan lima yang menunggang motosikal maut dipercayai dihempap pokok dalam kejadian di Kampung Charuk Sireh, di sini hari ini.

Mangsa, Muhammad Assif Md. Zahid, 17, yang ketika itu dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 8 disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman, bapa mangsa yang mengetahui kejadian itu segera menghubungi isterinya yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Sungai Petani pada pukul 7.44 pagi.

“Ibu mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum suaminya meminta berpatah balik ke Sik dan memaklumkan kejadian yang menimpa anak mereka.

“Ketika dalam perjalanan ke lokasi, wanita itu berselisih dengan kereta suaminya dan terus mengikut suaminya ke Hospital Sik, sebelum dimaklumkan anak mereka meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdull Razak berkata, siasatan awal yang dilakukan di tempat kejadian mendapati tiada kesan jenayah atau khianat ditemukan.

Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sik untuk tindakan lanjut. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN