Pas sertai Kerajaan Perpaduan?

Pas sertai Kerajaan Perpaduan?

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas mengakui terdapat usaha daripada pihak tertentu yang mempelawa parti itu untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas perlu melihat dari semua aspek baik dan buruk jika bersama Kerajaan Perpa­duan.

Katanya, perkara itu juga ada dibangkitkan dalam Majlis Syura Ulama, namun sekadar dibincang sepintas lalu dan belum ada sebarang keputusan muktamad menge­nainya.

DITELITI

“Kita perlu kaji dan tengok baik buruk mengenainya dan adakah dalam kerjasama di dalam kerajaan itu ada DAP dan sebagainya. Perkara itu akan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Ya, memang ada usaha daripada pihak tertentu yang mengajak kita bersama di dalam Kerajaan Perpaduan dan kita belum buat apa-apa keputusan lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Hashim berkata, Pas yang mempunyai kerusi terbanyak di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu sudah pas­tinya boleh membantu memperkuatkan kedudukan kerajaan, namun untuk bersama di dalam Kerajaan Perpaduan memerlukan kajian dan perbincangan lebih menyeluruh.

“Ada baik dan buruknya perkara tersebut dengan Pas masih tidak membuat sebarang keputusan muktamad mengenainya”, katanya.

Sebelum ini, wujud desas-desus Kerajaan Perpaduan sedang berbincang dengan Pas untuk bersama-sama dalam Kerajaan Persekutuan.

MENAFIKAN

Malah, sebelum ini media juga pernah melaporkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak mengesahkan mahupun menafikan khabar angin yang Pas akan menyertai gabungan Kerajaan Persekutuan.

Menjawab soalan pembe­rita berkenaan khabar angin tersebut ketika itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, ada banyak perbincangan antara kerajaan dan pembangkang terutama membabitkan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Fahmi ti­dak menjelaskan secara khusus jika kerajaan dan Pas ada membincangkan tentang per­kara itu.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) seperti terbina dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan PH dan BN ter­utama UMNO ketika ini berada pada tahap sangat baik.

Sementara itu, Hashim berkata, Pas yang mempunyai kerusi Melayu terbanyak sudah pastinya boleh membantu memperkuatkan majoriti Me­layu di dalam kerajaan namun untuk bersama di dalam kerajaan ia memerlukan kajian dan perbincangan lebih menyeluruh.

“Ada baik dan buruknya perkara tersebut dengan Pas masih tidak membuat sebarang keputusan muktamad mengenainya”, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×