Pam air tambahan Taman Sri Muda mula beroperasi - Utusan Malaysia

Pam air tambahan Taman Sri Muda mula beroperasi

Pam Taman Sri Muda
IZHAM Hashim (dua, kanan) bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyaksikan pam skru baharu yang mula beroperasi dekat Rumah Pam Tambahan Pintu Air Taman Sri Muda di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga pam baharu yang ditambah dalam projek naik taraf pintu air bernilai kira-kira RM7.1 juta dekat Taman Sri Muda beroperasi mulai hari ini bagi menyalur limpahan air hujan di kawasan berkenaan.

Infrastruktur baharu terdiri daripada tiga jenis pam skru itu dijangka menyelesaikan masalah banjir di kawasan perumahan berkenaan apabila kemudahan tersebut mampu meningkatkan aliran air sehingga lima kali ganda berbanding pam sedia ada.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, kewujudan pam tersebut mampu meningkatkan membawa air keluar daripada dari kawasan perumahan ke Sungai Klang pada kapasiti lima meter padu sesaat berbanding satu meter padu sesaat pada pam sedia ada.

“Cuma, kena juga pastikan parit dan longkang bersama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya dapat diperkemas dan dinaik taraf agar air cepat mengalir ke sini (kunci air) untuk dipam keluar.

“Skru pam yang digunakan ada kelebihan iaitu selain laju kapasitinya, ia juga tidak menyebabkan tersangkut, sampah sarap semua ditarik sekali. Kalau pam biasa sebelum ini memang tersangkut, kalau sampah terlepas daripada jaring penapis, ia boleh masuk ke dalam paip dan tersumbat,” katanya pada perasmian Rumah Pam Tambahan Pintu Air Taman Sri Muda, hari ini.

Tambahnya, kewujudan tiga pam skru itu menjadikan keseluruhan pam yang terdapat di kawasan perumahan itu sebanyak tiga buah termasuk empat pam berkapasiti besar lapan meter padu sesaat di kolam takungan air.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Taman Sri Muda merupakan kawasan tumpuan bagi projek tebatan banjir apabila pernah alami masalah bah paling buruk di negeri ini pada 1999 dan 2021 sehingga menyebabkan lebih 20,000 penduduk terjejas.

Selain naik taraf pam, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM160 juta bagi projek pembinaan tembok penghalang banjir yang sedang dilaksanakan.

Dalam pada itu, Izham memaklumkan isu bekalan elektrik di rumah pam berkenaan turut diselesaikan dengan pembinaan sub stesen janakuasa yang lebih tinggi bagi mengelakkan ditenggelami air.

“Kita pastikan juga kali ini di tempat yang tinggi, dapat membekal elektrik bukan sahaja untuk pam tetapi untuk pintu air,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN