KEMAMAN: Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dua lagi mangsa yang masih hilang dalam insiden bot karam selepas dipercayai dilanggar tongkang di perairan Kemaman dekat sini, Ahad lalu, ditamatkan bermula petang ini.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Muhamad Faisal Abdul Rahim berkata, operasi itu ditamatkan pada pukul 7 petang ini setelah tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan pasukan operasi tersebut.
Menurutnya, Op Carilamat itu meliputi kawasan pencarian seluas 407.84 batu nautika persegi iaitu 116.24 nautika batu persegi di laut dan 291 batu nautika persegi di udara.
Katanya, operasi itu juga melibatkan tiga lokasi menyelam untuk mengesan bangkai bot yang karam meliputi kawasan seluas 120 meter persegi.
“Operasi tersebit dibantu sembilan penyelam daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan dua pesawat udara jenis Bombardier dari Maritim dan AW 139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi, bot dinaiki tujuh penumpang dan dua tekong karam selepas dipercayai dilanggar tongkang pada kedudukan tujuh batu nautika dari Kuala Kemaman.
Setakat ini, dua lagi mangsa yang masih belum ditemui ialah Yusof Kassam,66, dan Aina Husna Mohamad Husaini, 25.
Tragedi itu, mengorbankan dua mangsa iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang berasal dari Selayang, Selangor dan tekong tempatan, Shahril Ismail, 50.
Lima mangsa lain pula selamat iaitu Rosnawi Harun, 50, Ain Farhana Mohamad Husaini, 30, Haziyah Harun, 63, Mat Ali Alahan, 66, dan tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50.
Bagaimanapun, Muhamad Faisal berkata, keluasan operasi pencarian selepas ini akan dilakukan dalam skala kecil mulai esok.
“Mulai esok, keluasan pencarian kita kecilkan dengan hanya menggunakan dua aset Agensi Penguatkuasa Malaysia (APMM),” ujarnya.
Tambahnya, komuniti setempat juga diminta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menemukan sebarang petunjuk,” katanya. – UTUSAN










