Nilai ringgit kuat sebab dasar kerajaan tidak tepat - Gerakan

Gerakan dakwa nilai ringgit kuat sebab dasar kerajaan tidak tepat

Parameswaran Ganason
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan tuntutan Kerajaan Madani yang menganggap nilai ringgit hari ini terkuat di Asia adalah hasil daripada dasar dan polisi mereka adalah tidak tepat.

Naib Presiden Gerakan, Datuk Parameswaran berkata, kerajaan tidak seharusnya berbangga dengan perkembangan positif nilai ringgit ketika ini. 

Katanya, ini kerana ia berpunca daripada faktor luaran terutamanya penurunan mendadak dalam kadar pulangan bon Amerika Syarikat yang merupakan penyebab utama di sebalik perkembangan ini.

“Tuntutan Kerajaan Madani bahawa kekuatan ringgit adalah hasil dari dasar mereka adalah sangat mengelirukan. Rakyat Malaysia diingatkan jangan mudah ditipu oleh Kerajaan Madani.

“Pada tahun 2008, nilai sedolar AS mencecah RM3.50, Pakatan pada masa itu berteriak katakan negara akan bankrap tetapi hari ini melangkaui RM4.50, anehnya Pakatan kini memekik ringgit terkuat di Asia pula,” katanya dalam kenyataan. 

Sebelum ini media melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mata wang ringgit pada masa ini dilihat berada pada tahap terkuat dalam tempoh 14 tahun kerana dasar Kerajaan Perpaduan dan muafakat membangunkan negara secara bersama. 

Malah, Perdana Menteri berkata, mata wang itu yang sering dipertikaikan pembangkang kononnya sedang merudum, sebenarnya telah memperlihatkan aspek pemulihan positif di bawah pentadbiran kerajaan pada masa ini.

Mengulas lanjut, Parameswaran berkata, kestabilan dan kekuatan sebenar ekonomi Malaysia harus dinilai berdasarkan indikator ekonomi domestik seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar pengangguran serta kestabilan harga pengguna dan bukan semata-mata pada fluktuasi nilai mata wang yang didorong oleh faktor luaran.

Beliau menjelaskan, antara penyebab nilai mata wang kukuh lain disebabkan pergolakan besar yang berlaku di pasaran bon Amerika Syarikat telah menyebabkan kadar pulangan bon AS menjunam. 

“Situasi ini memberikan kesan limpahan yang menyebabkan aliran modal kembali ke pasaran baru muncul, termasuk Malaysia, sekaligus memperkuat nilai ringgit. 

“Sehubungan itu, Gerakan menyeru Kerajaan Madani untuk bersikap lebih bertanggungjawab dalam menangani isu ekonomi negara dan untuk tidak mengalihkan perhatian daripada keperluan reformasi asas dengan menyandarkan perkembangan kepada faktor luaran yang tidak berkekalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN