GEORGE TOWN : Sebanyak RM31.38 bilion pelaburan telah berjaya diraih oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Pulau Pinang hasil kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, jumlah pelaburan yang dianggap memberangsangkan itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap prospek jangka masa panjang yang ditawarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Pulau Pinang khususnya.
Menurut beliau, pelaburan yang merangkumi beberapa sektor tumpuan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER itu juga secara tidak langsung telah mewujudkan lebih 6,600 peluang pekerjaan bagi tempoh yang sama.
“Saya melihat prestasi baik ini akan menjadi pemangkin kepada NCER untuk terus memacu pelaburan dan pembangunan ekosistem perniagaan untuk tempoh separuh kedua tahun ini.
“Ia boleh dilakukan dengan memanfaatkan kelebihan serantau yang ada di NCER khususnya dalam sektor elektrik & elektronik (E&E) serta semikonduktor,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, bangunan NCER Technology Innovation Centre (NTIC) yang dibangunkan di Bayan Lepas kini telah siap dan ia dijangka mula beroperasi tidak lama lagi.
Jelas Mohamad Haris, kewujudan bangunan tersebut secara langsung akan merancakkan lagi aktiviti yang inovasi, penyelidikan dan pembangunan serta meningkatkan rantaian nilai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah hab teknologi dan inovasi di rantau ini.
“Dalam tempoh separuh pertama 2024 ini sahaja, sebanyak 16 buah syarikat PKS tempatan di Pulau Pinang telah dimudah cara melalui geran padanan bagi meningkatkan rantaian nilai di bawah program NTIC menerusi inisiatif Pusat Kecemerlangan dan Teknologi dan Inovasi,” katanya.
Ujar beliau, NTIC merupakan program di bawah inisiatif Lembah Teknologi NCER yang memfokuskan kepada aktiviti berkaitan penyelidikan, pembangunan produk dan reka bentuk khusus.
“Program ini juga berperanan sebagai platform untuk syarikat besar tempatan, syarikat multinasional, syarikat pemula, teknokrat individu dan usahawan muda untuk menjalankan aktiviti berteknologi dan bernilai tambah tinggi di NCER serta seterusnya menghasilkan Harta Intelek mereka sendiri,” katanya.
Tambah Mohamad Haris, seramai 144 pekerja tempatan juga telah diluluskan untuk menjalani latihan peningkatan kemahiran teknikal di bawah inisiatif Program Meister Teknologi Lanjutan (ATMP) ketika ini.-UTUSAN










