Napie ada beri respons, tapi sedikit - Tam Spider - Utusan Malaysia

Napie ada beri respons, tapi sedikit – Tam Spider

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain gitar utama kumpulan Spider, Hanafi Hamdan atau Napie masih dirawat di Hospital Sungai Buloh akibat penyakit strok yang menyerangnya sejak hampir sebulan yang lalu.

Menurut Vokalisnya, Tam, perjuangan kumpulan itu harus diteruskan meskipun ketiadaan Napie sedikit sebanyak menimbulkan rasa ralat dalam kalangan anggota Spider.

“Napie baru selesai menjalani pembedahan di bahagian otak dan keadaannya sangat lemah.

“Dia ada memberikan respon, tetapi sangat sedikit. Saya risau juga sekiranya pembedahan yang dilakukan memberi kesan kepadanya.

“Tapi, saya harap tiada apa-apa,” katanya yang ditemui pada sidang media Konsert Jiwa Malaysia 2024 di Bukit Jalil, baru – baru ini.

Sementara itu, anggota Spider mula menyedari masalah kesihatan Napie selepas melihat prestasi persembahannya yang merosot.

“Persembahan terganggu, tangannya mula tak boleh cengkam, memorinya juga merosot sehingga tak ingat semua lagu.

“Jadi, kami minta Napie berehat dahulu sebab takut rebah ketika buat persembahan dan tak mahu beri tekanan kepadanya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tam memaklumkan Napie yang juga bapa kepada tiga cahaya mempunyai sumber pendapatan tetap lain menerusi pekerjaannya sebagai jurutera bunyi di Studio Luncai Emas.

“Napie bekerja sebagai jurutera bunyi di Luncai Emas, jadi dia memang ada pendapatan tetap.

“Tapi, tak tahu pula bagaimana dengan sekarang, mungkin adalah bantuan,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Spider bakal membuat persembahan sempena Konsert Jiwa Merdeka yang diadakan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 7 September ini.

Antara artis yang terlibat adalah Bunkface, Bella Astillah, Hujan, Ruffedge, Imsomniacks dan Dolla.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×