PETALING JAYA: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez, 71, menyuarakan sokongan terhadap cadangan menamakan jalan dengan nama Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini.
Kata Freddie, inisiatif tersebut merupakan antara cara terbaik menghargai dan mengenang jasa dan sumbangan Biduanita Negara itu kepada dunia seni tanah air.
“Kita wajar lakukan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan untuk beliau. Jasa Allahyarham terlalu besar kepada masyarakat, menghiburkan kita dengan lagu-lagu malar segar semasa hayatnya.
“Saya sifatkan usaha menamakan sebatang jalan dengan nama beliau sebagai inisiatif yang sangat baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penulis lirik, Roslen Fadzil menerusi laporan Utusan Malaysia dua hari lalu mencadangkan agar sebatang jalan dinamakan dengan nama biduanita berkenaan.
Kata Roslen yang mesra disapa sebagai Slen usaha tersebut sepatutnya sudah lama diwujudkan namun sehingga kini belum direalisasikan.
Sementara itu, Freddie berharap seniman bertaraf legenda yang lain turut diberi peluang yang sama sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan sumbangan mereka.
“Inisiatif seperti bukanlah baru semalam dilakukan. Sebelum ini kita sudah ada jalan yang dinamakan dengan nama seniman agung iaitu Jalan P. Ramlee di ibu kota.
“Saya harap usaha seperti ini diteruskan membabitkan seniman bertaraf legenda yang lain,” kongsinya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi mencadangkan agar sebuah jambatan dibina dan dinamakan Sharifah Aini sebagai usaha lain untuk mengabadikan jasa dan sumbangan penyanyi itu kepada negara.
“Menamakan jalan dengan nama Allahyarham merupakan cadangan yang sangat baik. Namun sekiranya usaha itu menemui jalan sukar untuk direalisasikan, saya cadangkan kita usaha cara lain, seperti wujudkan jambatan seperti Saloma Bridge di Kampung Baru.

“Usaha ini akan memberi impak positif kepada industri dan menerusinya, kita dapat lihat pengiktirafan kerajaan kepada anak seni.
“Apa pun, Seniman tetap menyokong dan amat mengalu-alukan usaha menamakan jalan dengan nama Allahyarham,” jelasnya. –UTUSAN










