PUTRAJAYA: Laporan akhir berhubung nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos tahun lalu akan dikeluarkan dalam beberapa hari lagi.
Perkara berkenaan disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam sidang akhbar di sini hari ini.
“Beberapa hari lagi sebelum genap setahun insiden tersebut,” katanya ringkas.
Media pada 15 September tahun lalu melaporkan, laporan akhir nahas itu dijangka diselesaikan pada Ogos tahun ini selaras dengan standard Annex 13 kepada Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13) yang memperuntukkan tempoh 12 bulan dari kemalangan tersebut untuk melengkapkan dokumen berkenaan.
Pada 17 Ogos tahun lalu, pesawat Beechcraft Model 390 Premier 1 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang.
Ia meragut 10 nyawa termasuk lapan penumpang dan krew di atas pesawat dan dua pengguna jalan raya. – UTUSAN