KUALA LUMPUR: Pelakon, Zul Ariffin memaklumkan dia belum bersedia menyusuli jejak langkah beberapa pelakon Malaysia yang berulang alik ke Indonesia untuk mencipta nama di negara itu.
Katanya, dia percaya setiap pelakon ada peluang masing-masing, justeru dia tidak terkilan sekiranya tidak dipilih untuk melebarkan sayap ke negara tersebut.
“Setakat ini belum ada tawaran (berlakon di Indonesia). Tetapi tidak lama lagi, akan ada kolaborasi dengan negara jiran.
“Mereka (produksi Indonesia) ada pelakon Malaysia yang mereka mahukan. Mungkin bukan saya.
“Kalau setakat ada kolaborasi dengan negara jiran, saya okey. Tapi untuk saya berpindah ke ‘padang’ mereka, tidak,” katanya.
Zul mengulas mengenai ketiadaan peluang untuk dia berlakon di Indonesia berbanding pelakon Malaysia lain seperti Bront Palarae yang sudah berjaya mencipta nama di negara itu.
Dalam pada itu, Zul atau nama sebenarnya, Zulkiflu Ariffin meraikan kehadiran pelakon-pelakon baharu yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Katanya keadaan itu mewujudkan persaingan sihat selain menyuntik kepelbagaian dalam dunia drama dan perfileman tempatan.
“Sekarang ramai pelakon muda dan audiens mereka kebanyakannya dalam kalangan yang berumur 30 tahun dan ke bawah. Itu yang membuatkan pelakon-pelakon muda cepat naik.
“Saya okey dengan kedudukan saya. Dan saya juga tak ada masalah untuk melakonkan yang lebih matang daripada usia saya.
“Saya yakin setiap pelakon ada audiens masing-masing,” katanya.










