KUALA LUMPUR: “Taat setia saya kepada institusi raja berperlembagaan jangan dipersoalkan.”
Itu penegasan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu ucapannya semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Katanya, beliau tidak mempunyai niat untuk menghasut atau mengajak rakyat menghina serta membenci institusi raja berperlembagaan di negara ini.
“Sebagai seorang rakyat biasa, saya bernaung bawah kebesaran dan kemuliaan raja-raja Melayu.
“Ucapan pada kempen PRK DUN Nenggiri baru-baru ini adalah fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) secara sepintas lalu.
“Ia (ucapan) ketika kempen tersebut menceritakan mengenai kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, terdapat pihak yang memutar belit kenyataannya termasuk menyunting video ucapan dengan niat untuk memfitnah kononnya dia telah menghina Yang di-Pertuan Agong Ke-16 serta menghasut rakyat supaya membenci raja.
“Dalam kenyataan saya kepada polis pada hari ini, saya telah menjelaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat.
“Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.
“Tidak ada sepatah pun dalam ucapan saya yang menghina raja atau mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong pada masa itu,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin diambil keterangan oleh pegawai polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman di pejabatnya di sini selama satu jam.
Muhyiddin berkata, perkara yang diucapkan telah berlaku hampir dua tahun lalu.
Katanya, dia juga tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Sebaliknya, kata beliau, pada November 2022, dia telah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri ke-10.
“Apa yang saya sebut dalam ucapan saya hanyalah fakta yang menjadi sebahagian daripada rekod sejarah,” ujarnya.- UTUSAN











