KUBANG PASU: Sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz GLC 43 terbakar di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran Taman Sinar Harapan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tiada mangsa yang cedera dalam insiden tersebut walaupun kenderaan terbabit mengalami kemusnahan sehingga 50 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohd. Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 9.48 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Mercedes Benz GLC43 terbakar di lorong kecemasan lebuh raya tersebut. Pihak kami segera memadam kebakaran menggunakan air tangki jentera,” katanya ketika dihubungi. -UTUSAN










