KUALA LUMPUR: Seorang mekanik dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, dua tahun lalu.
Hakim Mohd Kafli Che Ali memutuskan demikian selepas mendapati lelaki berusia 33 itu yang tidak diwakili peguam bela gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
“Pada tahap penilaian secara maksimum, mahkamah memutuskan bahawa tertuduh telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah di dalam kes pendakwaan. Maka dengan ini, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan ke atas pertuduhan di dalam kes ini,” kata Mohd Kafli.
Lelaki tersebut didakwa melakukan amang seksual fizikal di laluan tangga sebuah flat di sebuah taman perumahan di sini pada pukul 4.20 petang, 11 Ogos 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman penjara maksimum dan sebatan diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran dan mengambil kira kepentingan awam.
“Tertuduh telah melakukan kesalahan yang serius dengan melakukan amang seksual sehingga mangsa trauma sepanjang ayat dan masa depan terjejas.
“Keadaan di Malaysia semakin membimbangkan apabila kanak-anak tidak boleh berjalan seorang diri hanya untuk naik ke rumah ibu saudaranya dari tingkat bawah ke tingkat atas. Saya memohon hukuman berat penjara dan sebat terhadap tertuduh bagi menjaga kepentingan awam rakyat di negara ini,” kata Noorhani.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu 23 Ogos 2022 agar dapat keluar awal dari penjara dan memohon sebatan tidak dikenakan kepadanya.
Seramai lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 10 Januari tahun ini.
Mengikut fakta kes, mangsa memberitahu ibunya bahawa dia telah ditahan oleh seorang lelaki ketika hendak menaiki tangga ke rumah pengasuh di flat sama sebelum dibawa ke bahagian bawah tangga yang tidak boleh dilihat orang lain.
Lelaki itu bertindak melakukan perbuatan amang seksual sehingga kanak-kanak itu menangis sebelum lelaki itu berlalu pergi.
Kanak-kanak terbabit kemudian terus rumah pengasuhnya dan memberitahu pengasuh itu mengenai kejadian yang menimpanya. Pengasuh bertindak memaklumkan kepada ibu mangsa.
Ibu mangsa kemudian membawa mangsa ke klinik berdekatan selepas mendapatu terdapat kesan darah pada seluar dalam anaknya itu sebelum dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.-UTUSAN










