SUNGAI SIPUT: Seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang sebelum ini dilaporkan hilang di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini, ditemukan meninggal dunia semalam.
Mangsa, Nuraina Humaira Rosli, 10, ditemukan orang awam dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya pada pukul 4.20 petang.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri pada jarak 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan berkenaan.
Katanya, berdasarkan pemerhatian awal, tiada kecederaan pada tubuh mangsa yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah.
“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, maklumat kehilangan kanak-kanak itu diterima daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) sekitar pukul 1.20 pagi, semalam.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya digerakkan dalam radius 2 kilometer dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa telah pergi ke kedai seorang diri kira-kira pukul 3 petang pada hari kehilangannya (Jumaat) untuk membeli ayam.
“Mangsa bagaimanapun pulang dengan tangan kosong kerana kehabisan ayam di kedai sebelum bapa saudaranya itu menyuruh kanak-kanak tersebut menunggu seketika untuk mengajaknya ke kedai lain.
“Sepanjang tempoh itu, mangsa bermain buaian di kawasan itu, namun bila bapa saudaranya keluar dari rumah didapati mangsa sudah tiada,” katanya. – UTUSAN










