KUALA LUMPUR : Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Umrah & Muslim Travel Fair by PAPUH bermula dari 25 hingga 27 Oktober ini sebagai usaha untuk membantu memberi kefahaman khususnya kepada bakal jemaah-jemaah haji dan umrah.
Ini kerana, menerusi lambakan penipuan pakej umrah dan percutian yang ditawarkan dengan harga murah, biasanya mampu menjadikan bakal jemaah cepat teruja untuk mengikuti namun terlupa untuk cakna dan memastikan latar belakang sesebuah syarikat itu.
Naib Presiden PAPUH, Muhammad Mursyid Abu Hassan berkata, penganjuran ini bakal menjadi platform buat agensi pelancongan yang berdaftar menawarkan pakej mesra muslim sekaligus mengelakkan risiko penipuan.
“Ini merupakan medium baharu untuk travel fair di Malaysia. PAPUH sebelum ini telah menerima banyak rungutan daripada ahli memandangkan ramai jemaah yang tertipu dengan pakej-pakej murah yang banyak diiklankan di laman media sosial.
“Mereka tertipu disebabkan terpengaruh dengan pakej yang ditawarkan dengan harga murah dan akhirnya tidak dapat terbang. Setelah diselidik baru mereka tersedar yang mereka membeli pakej daripada agensi yang tidak berlesen.
“Atas permintaan ahli PAPUH sendiri, PAPUH bersetuju untuk menganjurkan Umrah & Muslim Travel Fair by PAPUH yang hanya membenarkan agensi-agensi yang mempunyai lesen penuh (seperti Inbound, Outbound, Ticketing dan Umrah) untuk mengambil bahagian. Sebanyak 60 syarikat akan mengambil bahagian dalam acara pada kali ini,” katanya.
Dalam pada itu, jelas Mursyid, program ini turut menawarkan pelbagai hadiah istimewa buat pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung.
“Kami ingin mengajak semua rakyat Malaysia yang ingin melancong untuk datang ke Umrah & Muslim Travel Fair by PAPUH ini untuk mendapatkan pakej-pakej umrah, pelancongan mesra muslim ke serata dunia, pas-pas masuk ke taman tema, tiket penerbangan serta tidak ketinggalan pakej-pakej percutian dalam negara dengan harga yang sangat menakjubkan.
“PAPUH juga menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada pelanggan yang membuat tempahan semasa acara ini. Hadiah utamanya adalah baucar umrah atau pelancongan bernilai RM2000, 25 baucar umrah atau pelancongan bernilai RM500 dan 20 set Ihram,” tambahnya lagi.
Antara agensi dan syarikat yang akan terlibat sebagai pempamer dalam Umrah & Muslim Travel Fair by PAPUH ialah Barakah Umhaj Travel & Tours Sdn Bhd, Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn Bhd, Kurma Getaways Travel Management Sdn Bhd dan Rms Travel & Tours Sdn Bhd.










