Masyarakat Cina mahu ADUN cakna rakyat

Masyarakat Cina mahu ADUN cakna rakyat

MOHD. Azmawi Fikri Abdul Ghani (kiri) beramah mesra dengan pengundi Cina yang tinggal di Kampung Chegar Bonggor, Batu Lima, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Cina mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri Sabtu ini cakna rakyat selain kuat bekerja dan mudah didekati.

Seorang pengundi Cina yang tinggal di Kampung Chegar Bonggor, Batu Lima di sini, Tong Bong Sing, 71, berkata, wakil rakyat yang dipilih nanti perlu kerap turun padang untuk mendengar rintihan rakyat.

Katanya, dia yang menetap lebih 30 tahun di kampung itu bersyukur kerana kerajaan Pusat telah menyediakan keperluan untuk mereka termasuklah kemudahan jalan perhubungan dan bekalan elektrik.

“Saya berharap wakil rakyat baharu dapat membantu meneruskan agenda pembangunan di kawasan kampung kami yang terletak di pinggir bandar.

“Kami harap jika ada masalah di kampung kami, wakil rakyat baharu akan cepat-cepat munculkan diri mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Chan Jak Kee, 76, berkata, dia tidak sabar untuk mengundi wakil rakyat baharu Sabtu ini.

Katanya, dia berharap kedua-dua calon wakil rakyat yang masih muda dapat melaksanakan tanggungjawab, rajin bekerja dan terus membantu memenuhi keperluan rakyat.

“Kami harap mereka tak tunjuk muka ketika kempen saja. Mereka mesti sentiasa melawat kami di sini.

“Walaupun pengundi Cina di DUN Nenggiri ada 36 orang, namun suara dan keperluan kami tidak harus diabaikan,” katanya.

PRK Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon yang akan ditentang Mohd. Rizwadi Ismail dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×