PONTIAN: Masalah keluarga mungkin menjadi punca Siti Aishah Sahamin, 49, menghilangkan diri dari rumah sejak 11 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, Siti Aishah sudah beberapa kali menghilangkan diri sebelum ini tetapi pulang semula ke rumah beberapa hari selepas itu.
Katanya, maklumat terbaru yang diterima oleh anaknya mengatakan ibunya kini berada di Singapura tetapi tidak diketahui bila Siti Aishah memasuki Singapura dan dengan siapa pergi ke sana.
“Esok anggota kami dari Balai Polis Benut akan ke Pejabat Imigresen bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang perkara ini kerana Siti Aishah tiada mempunyai pasport antarabangsa, bila dia meninggalkan negara ini dan ke mana lokasi yang dituju,” katanya ketika dihubungi mengulas kehilangan Siti Aishah beralamat di Kampung Parit Tengah Darat, Benut.
Katanya, anak Siti Aishah telah membuat laporan di Balai Polis Benut kerana bimbang dengan keselamatan ibunya yang tidak dapat dihubungi.
“Telefon bimbit Siti Aishah juga telah ditutup menyebabkan pihak polis tidak dapat mengesan di mana dia berada ketika ini,” katanya.
Menurutnya, bahagian teknikal juga tidak dapat mengesan lokasi Siti Aishah kerana tidak mendapat maklumat daripada telefon yang digunakanya.
Justeru, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat tentang wanita berkenaan diminta menghubungi Ketua Balai Polis Benut, Sarjan Mejar Norazli Saleh menerusi talian 019-7475485 atau hotline IPD Pontian 07-6869999 atau mana-mana balai polis berhampiran.-UTUSAN










