PETALING JAYA: Malaysia memberi jaminan bersedia membantu Bangladesh mengembalikan keamanan dan ketenteraman ke arah pembangunan semula negara tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesediaan itu dinyatakan beliau melalui panggilan telefon kepada sahabat lamanya iaitu Prof. Muhammad Yunus yang dilantikan sebagai Ketua Penasihat kepada Kerajaan Interim Bangladesh, malam tadi.
Katanya, menerusi panggilan telefon itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah sambal bertanyakan khabar kepada Muhammad Yunus.
“Prof. Yunus mempunyai sejarah hubungan yang baik dengan Malaysia. Justeru, saya telah memberi jaminan kesediaan Malaysia untuk membantu Bangladesh mengembalikan keamanan dan ketenteraman ke arah pembangunan semula negara itu.
“Saya juga gembira dengan jaminan yang diberikan oleh beliau untuk melindungi dan memberi layanan yang saksama kepada semua warga Bangladesh termasuk golongan minoriti,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri memaklumkan bahawa Muhammad Yunus turut menjemputnya untuk melakukan lawatan pendek ke Bangladesh dalam masa terdekat ini.
“Ia adalah bagi mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan di antara kedua-dua negara,” katanya.
Muhammad Yunus yang merupakan pemenang hadiah Nobel Keamanan dilantik sebagai Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh pada minggu lalu susulan kejatuhan kerajaan Liga Awami Perdana Menteri, Sheikh Hasina.
Sheikh Hasina meletakkan jawatannya awal bulan ini sebelum melarikan diri ke India susulan protes besar-besaran digerakkan oleh mahasiswa di Bangladesh yang berlarutan sehingga berminggu-minggu sehingga mengakibat rusuhan besar. –UTUSAN










