Malaysia diiktiraf kuasa ekonomi tengah jika sertai BRICS

Malaysia diiktiraf kuasa ekonomi tengah jika sertai BRICS

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Malaysia bakal diiktiraf sebagai negara kuasa ekonomi tengah sekiranya hasrat menyertai organisasi antara kerajaan iaitu BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) diterima.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, BRICS adalah kumpulan negara antarabangsa yang mempunyai kepentingan ekonomi bersama di peringkat global.
Sehubungan itu, beliau berharap hasrat tersebut dilihat sebagai aspek ekonomi dan bukannya atas dasar politik.

“Saya percaya jika Malaysia diterima masuk BRICS, ia tidak menjejaskan hubungan antarabangsa kita dengan negara lain. Malaysia dikenali sebagai negara yang mengamalkan prinsip neutral ketika berurusan de­ngan isu-isu global.

“Jangan keliru, kita mahu sertai bukan disebabkan politik sebaliknya kerana mahu menjalin hubungan baik dengan semua negara termasuk negara-negara kuasa ekonomi tengah antaranya Rusia, Brazil, India dan China,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ask Minister Anything sempena Program Madani Rak­yat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini semalam.

Menurut Rafizi, tidak ba­nyak negara seperti Malaysia di peringkat global mempunyai hubungan baik bukan sahaja dengan negara blok barat dan timur tetapi blok negara Islam.

“Kerjasama antara Malaysia dengan negara-negara antarabangsa termasuk negara ahli di dalam BRICS juga bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya ia telah terjalin lama.

“Sebagai contoh, kita mempunyai jalinan kerjasama yang lama dengan Brazil khususnya dalam sektor gas dan minyak. Salah satu operasi luar terbesar Petronas adalah di Brazil, ada stesen mi­nyak Petronas di sana,” jelasnya.

Rafizi menegaskan, keputusan Malaysia untuk menyertai BRICS juga bukan bertujuan menolak penggunaan nilai mata wang dolar Amerika Syarikat sebaliknya untuk mengurangkan risiko ketidakstabilan mata wang ringgit.

Pada 28 Julai lalu, Malaysia dilapor sudah menghantar surat permohonan untuk menyertai BRICS, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Rafizi berkata, pertumbuhan ekonomi negara suku kedua yang mencatatkan kadar 5.9 peratus mencerminkan keyakinan pelabur-pelabur luar terhadap potensi Malaysia.

Beliau berkata, pencapai­an itu menunjukkan dasar dan naratif pertumbuhan ekonomi yang diperkenal negara kepada dunia selama ini diterima baik.

“Cabaran kerajaan ketika ini adalah bagaimana memastikan bukan sahaja naratif dan dasar itu menarik kepada pelaburan dan pertumbuhan tetapi menterjemah aspek itu dengan segera.

“Jika ini kita dapat lakukan, baharulah momentum pertumbuhan itu dapat diteruskan. Jika ini berlaku, kita akan dilihat sebagai destinasi pelaburan baik di rantau ini dan dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×