ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dikhuatiri lemas di sungai Kampung Empa, Pokok Sena di sini semalam.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.35 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kami dimaklumkan mangsa dikhuatiri lemas semasa pihak berkuasa membuat serbuan jenayah di situ. Tindakan mencari mangsa dilakukan serta-merta di permukaan dan tindakan menyelam akan dilaksanakan pagi ini,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.
Katanya, setakat pukul 8 pagi ini mayat mangsa masih belum ditemui. – UTUSAN










